Wednesday 1 February 2012

Pilih Kasih 3 Musim Terakhir


Pelakon dan produser terkenal, Rosyam Nor membayangkan program Pilih Kasih musim ketiga (PK3) sebagai yang terakhir diterbitkan syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Keputusan itu bagaimanapun menurut Rosyam, bergantung kepada sambutan diberikan penonton terhadap program realiti bertunjangkan matlamat menggilap pelakon berwibawa yang akan bersiaran bermula 20 November depan di TV2, setiap Ahad, jam 9 malam. Katanya, ia belum muktamad namun sekadar membayangkan PK3 ini sebagai terbitan terakhir. 

Program realiti bagi Rosyam tidak boleh terlalu lama kerana jika ia diadakan dalam jangka masa panjang timbul kebimbangan sekiranya ia tidak lagi relevan untuk penonton. “Pun begitu, bergantung juga pada sambutannya apatah lagi untuk PK3 selepas melalui perbincangan dengan pihak RTM kami berjaya mendapatkan slot ‘waktu perdana.’

“Menerusi musim kedua yang lalu, hanya Pentas Pilih Kasih memperoleh slot perdana iaitu setiap Sabtu, jam 8.30 malam manakala Kisah Pilih Kasih 2 disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4.30 petang. Siaran ulangannya jam 10.30 malam hingga 11 malam, setiap Selasa hingga Sabtu.

“Kami melihat waktu siaran Kisah Pilih Kasih sebelum ini kurang bersesuaian kerana hanya sebilangan kecil kelompok penonton iaitu suri rumah dapat menontonnya sementara petugas awam dan swasta masih berada di pejabat."

“Berbeza dengan musim kali ini, Kisah Pilih Kasih yang bermula 25 Januari hingga 12 April nanti akan diadakan setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam,” katanya.

Melalui slot perdana yang diperoleh, Rosyam mengharapkan perubahan waktu siaran itu dapat meningkatkan rating PK3.  Jika ia berjaya dan musim seterusnya disambung, Rosyam mahu menyerahkan takhtanya sebagai peneraju kepada calon yang sesuai.

“Saya mahu memantau dari kejauhan saja dan kedudukan saya akan digantikan seorang individu berkaliber. Dia juga mestilah penerima anugerah industri perfileman dan drama di Malaysia,” katanya ketika sidang media PK3, baru-baru ini.

Tidak hanya perolehan waktu perdana, PK3 juga tampil dengan kelainan melalui penyertaan dua pelakon popular tanah air, Erra Fazira dan Umie Aida selaku penasihat kepada Rosyam terutama untuk sesi penyingkiran peserta sewaktu siaran langsung Pentas Pilih Kasih. Kata Rosyam, kehadiran dua penasihat ini sesuai dengan kehendak penonton yang belum ini mempersoalkan mengapa keputusan penyingkiran Pilih Kasih dilakukan oleh dirinya seorang.

“Pemilihan Erra dan Umie dinilai berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang lakonan. Saya fikir orang yang paling dekat dan nama mereka cukup gah untuk meng�galas tugas ini bersama saya ialah Erra dan Umie kerana mereka antara pelakon cukup dihormati di negara ini.

“Pihak penaja Telekom Malaysia Berhad dan RTM bersetuju dan tiada bantahan semasa nama mereka diusulkan. Umie dan Erra akan terbabit sebagai panel penilai siri uji bakat dan bertanggungjawab memantau perkembangan pelajar sepanjang 11 minggu,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar PK3 pula dibarisi pengarah Erma Fatima yang dipertanggungjawabkan kali ini sebagai pengarah drama dan juga teater muzikal manakala Hamzah Tahir sebagai pengarah monolog.  Juri tetap yang mengikuti dan mengkritik persembahan peserta masih mengekalkan pelakon dan pengarah teater terkenal, Fauziah Nawi dan pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.

Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang Negeri Sembilan pula sekali lagi menjadi lokasi berlangsungnya Pentas Mingguan Pilih Kasih selama 11 minggu.
RTM Senawang-Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad



Kelainan lain, buat pertama kalinya program ini memperkenal�kan segmen ZoooM Pilih Kasih yang akan memulakan siarannya setiap Sabtu, jam 9 malam pada 28 Januari hingga 14 April.

1 comment:

  1. Huhu~ harap2 la PK tak tamat lagi.. coz banyak lagi bakat2 yg terpendam di luar sana menanti rancangan ini..T_T

    ReplyDelete